Tuesday, 9 February 2010

Ilmu Dari Mimpi Adalah Tipu Helah Iblis

SOALAN:

Saya telah beberapa kali bermimpi, didatangi oleh seorang lelaki memegang tasbih, berjubah hijau dan memakai serban. Lelaki ini, dalam mimpi yang ketiga, yang berlaku dalam tempoh lebih kurang tiga minggu memberi sepotong ayat untuk diamalkan. Ayat ini pada mulanya tidak dapat saya ingati apabila terjaga, tetapi akhirnya ayat itu dapat saya ingati lalu saya perdengarkan kepada seorang ustaz, di mana ustaz tersebut menyatakan bahawa ayat tersebut adalah benar.

Saya telah mengamalkan ayat tersebut, terutamanya selepas sembahyang fardu, seperti yang diajar dalam mimpi tersebut pada pertemuan yang tidak dapat dijelaskan waktunya. Persoalan saya ialah adakah mimpi saya itu baik, tidak mendatangkan masalah kepada saya, termasuk iktikad saya? Setakat ini saya telah menggunakan ayat-ayat tersebut untuk mengubati orang sakit, dan berjaya. - Salmi, Kota Bharu.

JAWAPAN:

Perlu diperjelaskan bahawa bukan mustahil apa yang berlaku ke atas saudara merupakan satu keistimewaan yang diberi oleh Allah ke atas hamba-Nya yang ikhlas, beriman lagi bertakarub kepada-Nya. Banyak cara Allah s.w.t. apabila Dia hendak menolong hamba-Nya. Allah apabila mahukan sesuatu itu berlaku ke atas hamba-Nya, maka akan terjadilah di mana ia tidak digagahi oleh sesiapa pun.

Walaupun demikian, setiap orang yang beriman itu perlu ditadbir oleh mereka yang berilmu. Kedua-duanya mimpi daripada iblis dan syaitan, dan ketiganya ialah mimpi mainan tidur.

Iblis dan syaitan diberi keistimewaan oleh Allah dapat melihat manusia, namun sebaliknya manusia tidak boleh melihat makhluk ini. Walaupun demikian, dalam keadaan tertentu manusia dapat melihat jin apabila penutup yang menghalang penglihatan manusia itu dibuka oleh Allah iaitu di kalangan mereka yang menuntut ilmu yang berkaitan dengan jin, membela, bersahabat atau bersaudara, mereka yang diganggu oleh jin (gangguan), atau mereka yang menghadapi masalah sihir, juga oleh sesiapa pun di mana hijab yang berlaku selama ini dibuka oleh Allah.

Jin tidak berupaya untuk berkomunikasi secara terus dengan manusia, kerana nature kejadian makhluk ini adalah berbeza. Manusia dijadikan oleh Allah daripada saripati tanah, manakala jin dijadikan Allah daripada api yang sangat panas. Manusia mempunyai jasad, tetapi jin tidak mempunyai jasad kasar seperti manusia. Ini adalah di antara sebab yang menjadi perbincangan atau perbalahan ahli-ahli falsafah kenapa manusia dan makhluk jin ini tidak dapat berhubung secara fizikal.

Walaupun demikian, makhluk halus ini berupaya berhubung dengan manusia ketika tidur melalui mimpi. Makhluk ini berupaya menyakiti manusia ketika hendak terlelap tidur, dengan mendatangkan pelbagai gangguan, menyebabkan seseorang itu berasa seolah-olah dihempap batu besar, ditikam di perut dengan benda tajam, berasa seolah-olah biji mata dipatuk oleh paruh burung yang besar, dicekik dan diselam dalam air menyebabkan orang yang tidur berkenaan tidak bernafas atau sesak nafas, menggigil ketakutan dalam keadaan berpeluh-peluh dan sebagainya.

Ketika sedang tidur makhluk ini boleh datang dalam mimpi, menyerupai binatang hitam yang menakutkan, menggigit, membelit dan sebagainya yang menyebabkan seseorang itu takut hendak tidur, lalu akhirnya jatuh sakit, atau sakitnya menjadi bertambah teruk.

Mengenai kes saudara, makhluk ini mendatangi saudara ketika dalam mimpi, dengan berjubah hijau dan sebagainya seperti yang saudara jelaskan. Jubah adalah lambang seorang yang alim apatah lagi dikaitkan dengan biji-biji tasbih di tangan. Warna hijau pula adalah warna kesukaan Nabi s.a.w. Keadaan seumpama ini adalah semata-mata untuk menarik minat saudara untuk mempercayai bahawa apa yang berlaku itu adalah pertolongan Allah, atau sekurang-kurangnya tidak ada kaitan dengan liku-liku atau helah jin, apatah lagi sekiranya ia berlaku ketika saudara dalam keadaan banyak berzikir, berdoa dan mendirikan sembahyang di keheningan malam.

Makhluk yang menjelma dalam bentuk atau rupa manusia alim ini begitu bijak. Ia tidak akan memberi doa sekali gus membolehkan saudara terus mengingati ayat-ayat yang diberi, tetapi ia akan memberinya sedikit buat permulaannya. Begitu juga yang dilakukan pada ketika yang lain, menyebabkan saudara begitu ghairah untuk mendapatkan doa yang ditayang-tayang dalam beberapa pertemuan mimpi.

Hidayah

Dalam keadaan apa sekalipun, selepas beberapa sesi mimpi yang terlalu mengharap, saudara akhirnya dapat ayat sepenuhnya seperti yang saudara jelaskan, dan didapati benar apabila saudara perdengarkan kepada orang yang faham mengenainya.

Dalam keadaan seperti ini, saudara akan terus-menerus mengamalkan apa yang disarankan oleh lelaki yang menjelma tadi. Dalam pertemuan yang lain, saudara akan dinasihatkan supaya memperbanyakkan lagi sedekah, perbanyakkan puasa Isnin dan Khamis, pergi umrah dan sebagainya. Semuanya ini menyebabkan saudara terus berkeyakinan bahawa apa yang berlaku tidak ada kaitan dengan jin atau jin-jin, tetapi merupakan ``maunah'' Allah, ataupun hidayah Allah, yang tidak diperoleh oleh semua orang.

Perjalanan saudara tidak berakhir begitu sahaja. Mungkin saudara, ataupun orang yang berpengalaman seperti saudara pada satu ketika pergi ke sekolah untuk mengajar seperti biasa. Ketika rehat salah seorang daripada guru perempuan teman saudara dengan tiba-tiba pening kepala lalu pengsan. Oleh kerana saudara dianggap sebagai seorang yang banyak ilmu agamanya, rajin berkata-kata mengenai agama, lalu teman-teman lain meminta jasa baik saudara supaya menolong teman yang sedang pengsan tadi.

Dalam keadaan kelam-kabut saudara rasa terdorong untuk menolong teman tadi, iaitu dengan membacakan doa yang saudara pelajari ketika tidur dan mengamalkan menurut panduan yang diberi dan didapati orang yang tidak sedarkan diri itu sembuh seperti sedia kala.

Terlalu banyak peristiwa seperti ini boleh berlaku yang melibatkan saudara yang akhirnya saudara menjadi seorang ``tok bomoh'', atau lain-lain julukan diberi oleh kawan-kawan, yang semuanya menghela kepada keyakinan diri bahawa saudara berupaya melakukan rawatan kepada pesakit.

Mungkin pada waktu lain, guru yang sama dengan tidak semena-mena pengsan, lalu mengeluarkan suara yang lain daripada suaranya, dan berkata dengan perkataan-perkataan yang tidak disangka-sangka, tetapi ada kebenarannya. Dan apabila saudara datang mendekatinya, membacakan doa yang saudara amalkan dalam segelas air, pesakit menjadi sembuh setelah minum.

Hal yang sama mungkin berlaku ketika saudara balik kampung, atau ke majlis-majlis perkahwinan, di mana pengantin perempuan dengan tidak semena-mena menjerit lalu tidak sedarkan diri. Dalam keadaan panik, dan tercari-cari orang yang pandai mengubat, memulihkan pengantin, saudara akhirnya terdorong untuk merawat pengantin yang pengsan tadi, dan sembuh.

Pada diri saudara, apa yang berlaku memberi keyakinan. Diyakini bahawa apa yang saudara dapat adalah daripada pertolongan Allah, apatah lagi ketika itu saudara selalu melakukan sembahyang di waktu malam, puasa Isnin dan Khamis, banyak bersedekah dan sebagainya, tetapi dari satu sudut lain, apa yang berlaku adalah hasil dari permainan dan tipu helah syaitan.

Guru yang sakit yang pengsan di sekolah, ataupun pengantin yang tidak sedarkan diri meracau ketika bersanding itu berlaku kerana angkara jin yang sama, iaitu perbuatan jin yang datang menjelma dalam mimpi saudara. Iaitu jin yang datang berjubah hijau, memegang tasbih berserban. Setelah memberi doa kepada saudara, lalu perasaan rasa yakin diri itu tersemat dalam diri, jin yang sama datang kepada guru yang ada di sekolah tempat saudara mengajar, lalu mencekik atau menyakitinya, dan meresap dalam tubuhnya. Makhluk jin ini dalam masa yang sama mendorong saudara untuk memulihkannya, lalu saudara berjaya memulihkannya.

Begitu juga yang berlaku ketika pengantin perempuan bersanding di mana masalah yang timbul adalah angkara jin yang sama. Walaupun demikian, apa yang berlaku tidak mudah diketahui atau disedari oleh manusia kerana tindak-tanduk, dan tipu helah jin atau iblis syaitan musuh manusia itu terlalu besar muslihatnya.

Terlalu banyak tipu helah makhluk halus yang menyebabkan seseorang itu sesat, tetapi merasakan dirinya mendapat maunah atau hidayah Allah. Makhluk ini secara tidak langsung mengajar dan membantu manusia melakukan rawatan dengan pelbagai kaedah, termasuk mengajar manusia atau berhubung dengan manusia ketika tidur. Setelah saudara benar-benar yakin, makhluk ini berkemungkinan meresap dalam diri saudara, menyebabkan saudara, ataupun orang yang mempunyai pengalaman seperti ini melakukan rawatan dalam keadaan menurun, di mana makhluk ini menggunakan jasad manusia untuk melakukan rawatan, mencari barang hilang, memberi petua penerang hati dan sebagainya. Fenomena seperti ini hakikatnya banyak berlaku di kalangan mereka yang melibatkan diri dengan ilmu kebatinan hingga sekarang ini tanpa disedari.

Perbicaraan mengenai ilmu yang diperoleh dalam mimpi banyak berlaku. Sukar untuk membezakan antara mereka yang mendapat maunah atau hidayah benar-benar daripada Allah. Biar dalam keadaan apa sekalipun, saya berkeyakinan bahawa kebanyakan mereka yang memperoleh ilmu melalui mimpi hakikatnya adalah daripada tipu helah iblis dan syaitan untuk menyesatkan manusia.


Sedutan dari:

Rencana oleh Dr. Amran Kasimin
Mingguan Malaysia

Berlakunya Kesesatan Dlm Perubatan Tradisional

Kebanyakan kesesatan yang boleh membawa kepada syirik dan menyebabkan seseorang itu menjadi kafir kebiasaannya berlaku dalam
bidang perubatan yang dilakukan Dukun, Tok Bomoh dan seumpamanya.

Kesesatan tersebut bolehlah di bahagikan kepada tiga bahagian yang utama antaranya :- 

A. Kesesatan oleh Tok Bomoh, Tok Dukun, Tok Pawang, Mak Bidan dan Mak Andam dan seumpamanya. Kesesatan yang sering berlaku pada golongan ini, ialah melalui proses mengubati pesakit atau dalam melakukan pekerjaan mereka, mereka mempunyai hubungan dan meminta pertolongan dengan khadam-khadam yang terdiri samada daripada Jin Islam alam
rendah atau yang terdiri daripada Jin-Jin kafir.

Mereka menjadi sesat melalui berbagai cara antaranya :-

1. Melalui Jampi, mentera dan serapah.

Kebanyakan daripada Tok Bomoh dan seumpamanya menggunakan jampi atau
mentera yang menyeru khadam-khadam untuk meminta pertolongan bagi membantu mereka memberi rawatan kepada pesakit-pesakit yang mengunjungi mereka.

Biasanya jampi mentera itu dimulai dengan bacaan Basmallah ……… Dan di sudahi dengan selawat ke atas Nabi atau dengan menyebut Lailahailll Allah Muhammadar Rasulullah ". Tetapi di
tengah-tengah jampi mentera mereka terdapat seruan-seruan kepada Jin
bagi meminta pertolongan mereka dalam mengubati pesakit atau mendapatkan sesuatu. Contohnya seperti :-

a. Amalan Batin.

" Bismillahirrahmanirrahim." Kuliat kulit banyu, sufaat daging banyu, rai ro ra inson, rogo iro rogo inson, aku bali gowo cohyo, cohyo maskinang kining, sang yang tunggang gerono anci-ancik kendali puro, berkat bulan kembang bintang dengan berkat Lailahaillah Muhammadurrasulullah.

b. Serapah Lekat Tulang.

" Bismillahirrahmanirrahim." Hei ! kerancang tulang dalam buluh, melela makan buat daku, kalau kau hendak ke dalam, kedalam tulang, kalau kau nak keluar, keluar tulang, kalau tidak aku sumpah kata Allah berkat Lailahaillah Muhammadurrasulullah.

c. Serapah menepung Tawar

" Bismillahirrahmanirrahim." Hai Jin Tanah Jembalang Bumi, Hai Jin Hitam serangkap rang bumi, pelesit di bumi, putar tanggah di bumi, puak juak mu, aku nak minta tolong jaga, tempat yang aku buat ni, aku menanggung baik di atas aku, dan jahat di atas mu, dengan berkat kata Lailahaillah Muhammadurrasulullah.


d. Mentera Menepung Tawar.

" Bismillahirrahmanirrahim." Hai ya sema yang semung, ya sema tiga
terkendong, kembang wadi kembang wada cat udi nyunyi, batang wong batang wang batang terkendong, ribut salah musim, kiong kemaling cendi seruka, dalam usul punya melepas, siapa yang melepas, dalam asal punya melepas, siapa punya melepas, kedi bunuh punya melepas, siapa punya melepas, sema putih punya melepas, siapa punya melepas, sema hitam punya melepas, Pelepas di padang luas, melepas mak inang kurang sa empat puluh, pelepas kata dengan berkat Lailahaillah
Muhammadurrasulullah.

Kesesatan yang telah dilakukan oleh Tok Bomoh yang menggunakan kaedah ini adalah terhadap dirinya sendiri, kerana jampi mentera yang digunakan itu mengandungi permintaan pertolongan kepada kuasa khadam dampingannya di samping meminta pertolongan daripada Allah, ini menunjukkan seolah-olah terdapat dua pihak yang berkuasa dan
dapat memberi pertolongan kepada mereka, iaitu Allah s.w.t dan Khadam-khadam mereka. Perbuatan tersebut dengan terang-terang telah melakukan perbuatan syirik kerana menyama-tarafkan Allah s.w.t dengan mahkluk lain dan meminta pertolongan kepada mahkluk lain selain daripada Allah.



2. Melalui Perbuatan atau Kelakuan.

a. Kesesatan Tok Bomoh Perubatan

Kesesatan seseorang Tok Bomoh dan seumpamanya boleh berlaku pada
perbuatan dan kelakuan Tok Bomoh tersebut melalui penjelmaan Jin ke
dalam tubuh badan mereka yang di panggil " Tanasakhul Aruah " semasa
mereka melakukan perubatan " Menurun " yang dilakukan untuk mengubati itu, adalah dengan bergantung kepada pertolongan dan kuasa Jin bagi membantu merawat pesakit tersebut.

Bercakaplah Jin itu menggantikan Tok Bomoh atau Tok Pawang dengan mengkhabarkan berita-berita atau masalah-masalah yang dihadapi oleh pesakit tersebut. Pada hakikatnya yang sedang mengubati itu adalah Jin dan bukannya Tok Bomoh atau Tok Pawang tersebut, kerana tiada nas dan dalil dalam Al-Quran, hadis, ijmak ulama ataupun qias dan lain-lain pendapat
yang muktabar yang boleh di pakai dalam Islam, yang menyatakan bahawa aruah Jin dan wali-wali boleh menjelma dan masuk ke dalam diri seseorang serta memperkenalkan dirinya dengan nama yang dijelmakan.

b. Kesesatan Bidan

Demikian juga yang dilakukan oleh Mak Bidan ketika menyambut kelahiran bayi. Ada yang tidak sedarkan diri ketika menyambut bayi, namun mereka dapat melaksanakan tugas tersebut hingga selesai walaupun mereka tidak sedarkan diri. Persoalannya, siapakah sebenarnya yang memainkan peranannya ketika Mak Bidan tersebut tidak
sedarkan diri.

c. Kesesatan Mak Andam

Mak Andam juga memainkan peranan penting dalam menghidupkan suasana
persandingan ala Hindu dengan adat istiadat pelamin dan pengantinnya. Bermula dari berinai, masuk pelamin sehinggalah selesai majlis persandingan tersebut di penuhi dengan suasana dan perkara-perkara Khurafat yang berhubung rapat dengan majlis pemujaan Dewa Rama dan Dewi Sita.

Sedangkan sebagaimana yang telah kita
ketahui bahawa upacara persandingan tidak pernah ujud dalam tamadun
Islam, tambahan lagi mempertontonkan aurat wanita di khayalak ramai
itu hukumnya haram dan persandingan pula bukanlah merupakan Sunnah
Nabi s.a.w.


d. Kesesatan Tok Guru Latihan Pertahanan Diri.

Kesesatan boleh berlaku ke atas tok guru latihan pertahanan diri atau pendekar seni pertahanan diri jika mereka melakukan salah satu daripada perkara yang diharamkan oleh syarak.

Antaranya :-

i. Melalui kaedah " Mubai'at yang disertakan dengan kalimah Qasam
atau sumpah-sumpah yang bertujuan kepada hikmah dan perkara-perkara
luar biasa yang mencarik adat.

ii. Melalui petua-petua atau kaedah yang ada pantang larang yang menepati hukum syarak.

iii. Melalui petua-petua atau kaedah marah atau dimarahi bagi menzahirkan perkara-perkara luar biasa yang mencarik adat.

iv. Melalui petua-petua atau kaedah yang berpegang kepada kebesaran ayat, wirid, jampi atau doa semata-mata tanpa mengharapkan pertolongan daripada Allah.

v. Tidak tahu asal usul ilmu yang dipelajarinya itu dan yang
diajarinya kepada orang lain.

Kebiasaanya tok guru latihan pertahanan diri juga merupakan Tok
Bomoh kerana di samping beliau mampu berlatihan pertahanan diri beliau juga biasanya mampu mengubati orang sakit.

Kesalahan besar yang telah dilakukan oleh tok guru latihan pertahanan diri yang sesat ini ialah sudahlah diri mereka sendiri telah tersesat melalui
amalan-amalan yang sesat itu, kemudian mereka mengajarkan pula ilmu sesat itu kepada anak-anak muridnya, yang bukan saja mengamalkan ilmu tersebut, malahan juga akan turut tersesat sama. Jika kumpulan ini terus mengembangkan ilmu tersebut maka akan bertambah ramai lagilah orang yang akan tersesat.

Kesalahan yang sering mereka lakukan ialah dari segi penggunaan jampi dan mentera yang digunakan dalam kebanyakan latihan pertahanan diri terdapat seruan-seruan terhadap bantuan Jin bagi memulakan latihan. Berbagai-bagai bentuk mentera dan jampi digunakan dalam pelbagai jenis latihan pertahanan diri, antaranya menyeru roh Panglima Hitam, atau roh-roh panglima-panglima yang lain samada Hang Tuah atau Hang Jebat dan sebagainya.

Kesesatan dalam perbuatan dan permainan latihan diri pula ialah,
terdapat sesetengah latihan pertahanan diri itu yang mensyaratkan pelatih pertahanan diri mestilah tidak sedarkan diri terlebih dahulu sebelum boleh menzahirkan perkara-perkara yang luar biasa, seperti melayang diatas pucuk pokok kayu, boleh melekat di dinding seperti cicak, boleh bertenggek di atas pucuk pisang seperti katak dan sebagainya.

Perbuatan seperti itu sebenarnya menyalahi syarak kerana rohani Jin telah masuk kedalam tubuh pelatih pertahanan diri tersebut sehingga menyebabkan dia tidak sedarkan diri. Pemulihan pula dilakukan dengan membaca jampi dan mentera tertentu oleh tok guru latihan pertahanan diri tersebut. Setelah sedar pelatih itu
tidak ingat apa-apa dan merasa letih yang amat sangat.


e. Kesesatan Ulama.

Ulama boleh menjadi sesat sekiranya mereka berhubung dengan khadam-
khadam tumpangan yang terdiri daripada rohani Jin Islam atau Jin kafir alam rendah yang datang mengikut perjanjian penerimaan persahabatan, samada melalui mimpi atau jaga, melalui wirid, jampi, doa dan seumpamanya. Bermula dari situ ulama tersebut menjadi popular dan akan di kunjungi oleh orang ramai bagi meminta
pertolongan seperti sembahyang hajat, mengubati penyakit, memberi kuliah-kuliah agama dan sebagainya.

Lazimnya ulama-ulama yang terjebak dalam persahabatan dengan Khadam-
khadam ini, sebenarnya mereka tertipu dan di tipu dengan syarat-syarat yang menepati hukum syarak yang didatangkan oleh khadam-khadam tersebut atau terpedaya dengan ketinggian ilmu, kealiman, kewarakan, kesolehan, ketinggian kelulusan atau pangkat kebesaran.

Mereka hanya meniru sahabat-sahabatnya yang ahli dalam babnya. Dimana mereka sebenarnya tidak sedar bahawa mereka hanya alim dalam ilmu zahir dan ilmu-ilmu tertentu sahaja, tapi pada pandangan umum keilmuan mereka sudah lengkap dan mengcakupi dalam semua segi. Mereka harus sedar bahawa dalam diri mereka masih ada lagi sifat-
sifat mazmumah

Dari satu segi perbuatan tersebut memang kelihatan baik dan tidak
terdapat apa-apa kesalahan, tetapi yang menjadi kesalahan dan menyesatkan pula ialah cara ulama tersebut menerima amalan dan pertolongan tersebut. Mereka menerima pertolongan daripada khadam Jin dan mereka pula memberi pertolongan kepada orang lain melalui bantuan khadam-khadam mereka.

Ulama-ulama jenis ini berselindung di sebalik keulamakan yang ada pada mereka, kerana kepentingan dan keegoan diri serta mempunyai sikap yang buruk. Kadang-kala mereka menggunakan kedudukan mereka untuk cuba menyebarkan fahaman dan kaedah perubatan mereka itu, sedangkan mereka tidak sedar yang mereka telah di perbudak-budakkan oleh puak-puak Jin yang pintar menipu manusia itu.


B. Kesesatan Yang Dilakukan Oleh Orang Yang Berubat.

1. Memuja Kubur-kubur yang di anggap Keramat.

Terdapat sesetengah daripada orang Melayu memuja kubur-kubur yang di
anggap keramat dalam usaha meminta pertolongan bagi mengubati penyakit yang di alaminya. Sebenarnya kubur tersebut tidak dapat memberi apa-apa pertolongan dan kesan kepada penyakit mereka.

Perbuatan tersebut amat bertentangan dengan ajaran Islam yang menyuruh umatnya meminta pertolongan hanya kepada Allah. Di samping perbuatan mereka itu juga tidak ada bezanya dengan amalan orang-orang Hindu dan Buddha.

Menziarahi kubur sebenarnya tidaklah salah atau menjadi satu kesalahan, bahkan sunat bagi umat Islam menziarahi kubur kedua ibu bapa , sanak saudara, keluarga, sahabat handai, tok-tok guru, alim ulama, para syuhadak dan orang-orang saleh, tetapi mengadakan pemujaan atas kubur tersebut, dengan mengadakan sesuatu upacara tertentu atau khusus di luar batasan syarak, itulah yang menjadi
kesalahan dan kadang-kala boleh menyebabkan seseorang itu menjadi
murtad dengan tidak disedari. Waliyazubillahi min zalik.

Antara contoh perbuatan memuja kubur yang dianggap kubur Tok Keramat
yang berlaku dalam masyarakat kita ialah seperti memuja kubur Mak
Bidan Tetek Lanjut di Taiping, memuja kubur Tok Temong di Temong,
Kati, Kuala Kangsar, Memuja kubur-kubur di Pulau Besar, Melaka. Mak
Bidan Tetek Lanjut yang di puja itu tidak siapa pun yang mengetahui
asal usul dan kesolehannya. Jadi mengunjungi kuburnya dengan sesuatu
tujuan, membayar nazar dan niat adalah merupakan perbuatan bidaah dholalah yang haram semata-mata, kerana menganggapnya keramat dengan membawa pisang, pulut kuning dan sebagainya dengan tujuan untuk mendapat berkat dan sebagainya.

Manakala pemuja Kubur Tok Temong di Kati pula, pengunjung-pengunjung
mengunjunginya dengan tujuan untuk menunaikan hajat dengan membawa
pulut kuning, ancak, kemian, serta mengadakan tahlil di kubur tersebut bagi mendapatkan sesuatu hajat. Ada juga pengunjungnya yang menyembelih ayam dan di niatkan darah dan tulang ayam itu adalah untuk makanan Jin penunggu Tok Temong.

Tidak ketinggalan kubur tersebut juga di kunjungi oleh sesetengah guru-guru latihan pertahanan diri dan pengikut mereka untuk mengambil berkat dan lain-
lain yang seumpamanya. Mengikut sejarah Tok Temong hanyalah merupakan pemerintah asal kawasan tersebut sebelum kedatangan Sultan ke Kuala Kangsar sahaja.

Pemuja-pemuja kubur di Pulau Besar di Melaka pula menganggap kebanyakan kubur-kubur di Pulau tersebut adalah kubur wali-wali Allah yang keramat. Sebenarnya kubur-kubur di pulau tersebut banyak yang kosong tanpa penghuni. Hanya orang yang tidak tahu menilai kebenaran sahaja yang mahu mengunjunginya. Mereka di tipu oleh
kumpulan-kumpulan Jin yang mendiami pulau tersebut dan memberitahu
mereka melalui mimpi supaya dibangunkan kubur-kubur untuk pemujaan.


2. Pengeras / Upah.

Kebiasaan pengeras atau upah yang ditetapkan oleh sesetengah Tok Bomoh adalah berlainan. Ada yang menetapkan seperti lima ringgit suku dengan jarum tiga batang dan garam setahil. Sesetengah pengeras pula dengan membawa sireh bertemu urat sebanyak tujuh helai, kapur dan pinang.

Ada juga yang menetapkan pengerasnya dengan buah kelapa masak, beras
secupak dan minyak kelapa. Jika membuang barang hikmat yang tertanam
upahnya adalah sekali ganda dari upah yang dikenakan oleh orang yang
menanamnya, contohnya kalau RM 100.00 jadi RM 200.00 dan sebagainya.

Ada juga yang mengenakan pengeras atau upah sampai beribu ringgit mengikut kemampuan dan kemampuan pesakit. Terdapat juga Tok Bomoh yang menetapkan upah sekadar ikhlas pesakit sahaja.

Kesalahan dan kesesesatan yang berlaku dalam keadaan ini ialah apabila pesakit tersebut percaya jika tidak menyediakan pengeras seperti yang di minta oleh Tok Bomoh itu maka penyakitnya tidak akan sembuh atau sukar untuk disembuhkan atau menganggap pengeras yang disediakan itulah yang menyebabkan penyakitnya sembuh.

Sebenarnya mengambil upah berubat dan menjampi dengan ayat-ayat Al-
Quran , Selawat-selawat Nabi dan susunan ayat-ayat yang baik adalah
diharuskan oleh syarak, berdasarkan suatu Hadis yang diriwayatkan
oleh Saad bin Abi Waqas.


3. Pemutus Ubat.

Pemutus ubat bermakna menamatkan rawatan dengan Tok Bomoh tersebut
setelah pesakit sembuh dari penyakit yang di alaminya. Kononnya kalau tidak " putus ubat " penyakit itu akan kembali semula. Berbagai jenis dan syarat amalan pemutus ubat diminta dan dikenakan oleh Tok Bomoh, antaranya seperti :-

a. Pesakit mesti menyembelih seekor ayam hitam, sepinggan pulut putih atau kuning dan sebiji telur dadar yang diletakkan di atas pulut tersebut.

b. Melepaskan ayam hitam di tepi hutan dengan niat tertentu

c. Mandi di kolah masjid tertentu sebanyak 3 atau 7 kali

d. Membuat kenduri aruah dan di antara persiapannya ialah kemian yang di bakar, pulut kuning dan lain-lain kuih muih dan sebagainya.

Apabila seseorang itu yakin dan mempercayai serta berittikad bahawa
tok-tok Bomoh atau doktor-doktor itulah yang menyembuhkan penyakit
dengan ikhtiar dan usaha mereka atau melalui ubat-ubatan dan jampi-
jampian mereka yang memberi bekas dalam menyembuhkan penyakit itu, ini bererti dia telah menyediakan dirinya jatuh kedalam murtad, kerana ia telah berpegang teguh dengan keyakinan tersebut sehingga menjadi satu ittikad bahawa sebab beradat yang Allah telah datangkan itu memberi bekas dalam menghasiklan sesuatu

Sekian
(Rencana sedutan dari Hj. Ahmad bin Che Din.)