Sama ada kita sedar ataupun tidak, banyak aspek dalam agama Islam yang pemahaman dan penghayatannya terpesong ataupun lari daripada paksi hakikat sebenar. Fenomena ini kalau diibaratkan menanam padi, kita tanam di kawasan yang tidak subur dan tanah yang tidak sesuai untuk tanaman jenis itu. Natijahnya kita tidak akan mendapat hasil yang lumayan ataupun kemungkinan padi tidak akan menjadi sama sekali.
Namun dalam amalan atau pun penghayatan Islam, kesannya jauh lebih buruk daripada kerja menanam padi seperti itu, kerana kita akan mengalami dua kerugian serentak sekiranya melakukan kesalahan dalam pemahaman dan amalan. Pertama tidak mendapat pahala daripada apa yang kita amalkan, kedua ia mendatangkan dosa - kemurkaan Allah s.w.t. pula. Implikasi daripada ini kita akan menanggung kerugian besar kerana kita melakukan perbuatan yang sia-sia.
Persoalan mengenai penggunaan ayat Seribu Dinar sebagai pelaris perniagaan seperti mana yang dibangkitkan oleh Mualim di dalam ruangan ini pada 28 Julai 2003, adalah di antara contoh bagaimana umat Islam tersilap dan tersasau jauh daripada memahami dan mengamalkan ajaran agama (al-Quran) yang sebenarnya.
Penyalahgunaan ayat-ayat al-Quran untuk tujuan komersial bukan sahaja terbatas kepada ayat Seribu Dinar yang kerap dilihat bergantungan di kedai-kedai makan atau gedung perniagaan, tetapi ayat-ayat lain juga. Di antara ayat-ayat yang popular dan sering disalahgunakan ialah ayat dalam surah Yasin, surah al-Ikhlas, surah al-Baqarah (Ayat Kursi) dan lain-lain.
Misalnya ayat dalam surah Yasin ayat ke 9: ``Dan kami adakan di hadapan mereka dinding dan di belakang mereka dinding (pula) dan kami tutup (mata) mereka sehingga mereka tidak dapat melihat,'' dijadikan tangkal dan azimat oleh para penuntut ilmu kebatinan. Kononnya kalau memakai ayat itu mereka akan dapat mengghaibkan diri daripada pandangan orang ramai. Tubuh mereka juga tidak lut apabila ditikam dengan senjata tajam.
Lebih tidak sopan lagi daripada itu, ayat berkenaan dijadikan ubat pengasih (guna-guna) untuk menundukkan perempuan agar jatuh hati kepada seseorang. Jika seseorang perempuan yang culas dengan lelaki yang berkehendakkannya, ia boleh dijinakkan apabila membaca ayat berkenaan dengan sedikit isyarat ataupun simbol perbuatan lain. Misalnya ambil segenggam pasir kemudian dijampi dengan ayat itu dan ditabur kepada seseorang perempuan. Apabila si perempuan itu terpijak atau melangkahi pasir itu, dia akan tunduk dan mengikut (jatuh hati) kepada lelaki yang melakukannya.
Demikian juga dengan ayat 255 (Ayat Kursi) dalam surah Al-Baqarah; ``Allah, tidak ada Tuhan melainkan Dia Yang Hidup Kekal lagi terus menerus (makhluk-Nya) tidak mengantuk dan tidak tidur. Kepunyaan-Nya apa-apa yang di langit dan apa yang di bumi. ``Siapakah yang dapat memberi syafaat di sisi Allah tanpa izin-Nya? Allah mengetahui apa-apa yang di hadapan mereka, dan mereka tidak mengetahui apa-apa ilmu Allah melainkan apa yang dikehendaki-Nya. Kursi Allah meliputi langit dan bumi. Dan Allah tidak merasa berat memelihara kedua-duanya, dan Allah Maka Tinggi lagi Maha Besar.''
Ayat ini juga sering dijadikan azimat atau tangkal. Ditulis di atas kertas kemudian dibungkus dalam kain berwarna kuning dan dipakai di pinggang ataupun di pergelangan tangan. Bungkusan azimat itu biasanya akan dijual dengan harga yang mahal! Kononya dengan berbuat begitu seseorang itu akan tidak dapat dilihat ataupun diserang oleh musuh. Ayat Kursi ini juga digunakan untuk menghalau hantu ataupun menghalang gangguan syaitan. Kalaulah benar seperti yang didakwa, (ayat dalam surah Yasin) itu boleh menundukkan perempuan maka sudah tidak ada lagi keikhlasan cinta perempuan itu kepada lelaki yang melakukannya kerana ia diperlakukan dengan paksaan. Apakah hukumnya pula kalau kita melakukan paksaan ataupun tipu daya ke atas seseorang demi kepentingan kita?
Kalaulah untuk memasuki (memeluk) agama Islam tidak ada paksaan ke atas seseorang, apa lagi dengan manusia memaksa manusia lain agar menyintainya? Tentulah ia tidak elok dan tidak boleh dilakukan. Perkahwinan adalah satu hubungan zahir dan batin untuk membangun ummah manusia di atas muka bumi ini, ia hendaklah dilakukan dengan penuh kesucian dan keikhlasan, bukannya paksaan. Sebenarnya masih banyak lagi ayat-ayat al-Quran yang digunakan sewenang-wenangnya dan tidak menepati kehendak sewajarnya. Akhir-akhir ini berbagai-bagai jenis bomoh telah mengiklankan akan kehebatan mereka kononnya berubat menggunakan ayat-ayat al-Quran. Jampi mentera mereka menggunakan ayat-ayat al-Quran. Sebenarnya cara itu hanya untuk menyakinkan orang ramai sahaja. Apalah yang boleh dilakukan dengan menggunakan ayat al-Quran sebagai mentera? Dan apakah ia pernah dipraktikkan pada zaman Rasulullah s.a.w.?
Memang benar setiap patah ayat al-Quran itu ada makna dan ertinya tersendiri. Ada sirnya, fadilat dan juga kelebihannya. Tetapi dengan menggunakan ayat-ayat al-Quran untuk semua jenis penyakit; termasuk kencing manis, darah tinggi, jantung dan sebagainya adalah tidak logik. Sebab setiap ayat al-Quran itu ada maqam dan tempatnya tersendiri. Proses penurunan al-Quran (Asbabun Nuzul) itu ada membawa maksud dan makna (relevensi) tersendiri dan bukan semua boleh dipakai sesuka hati.
Apa yang berlaku di dalam dunia perubatan tradisional kita hari ini begitulah. Bomoh menggunakan ayat-ayat al-Quran sebagai jampi mentera, dijadikan tangkal azimat untuk dipakai atau dilekatkan pada mana-mana bahagian tubuh. Dan ada yang lebih kolot dan tidak masuk akal lagi, mereka menulis ayat-ayat tertentu di atas kertas, dibakar kemudian dimasukan ke dalam air dan akhirnya disuruh minum. Cara itu bukannya menyembuhkan penyakit tetapi ia boleh menambahkan penyakit kerana kertas yang dibakar itu menghasilkan karbon dioksida.
Perlulah disedari bahwa penggunaan ayat-ayat al-Quran seperti itu salah dan berdosa. Tulisan atau huruf Arab tidak ada sebarang erti bagi konteks al-Quran sebenarnya. Ia hanyalah bentuk tulisan, dakwat dan kertas sahaja yang dijadikan simbol atau untuk menerbitkan bunyi (kalam) bagi menyampaikan mesejnya. Ayat al-Quran sebenarnya ialah apa yang dibaca, bunyi dan maksudnya itulah roh al-Quran. Kebanyakan kita memahami al-Quran itu seperti mana kita memahami sebuah novel. Hakikat novel sebenarnya ialah cerita dan jalan cerita yang terkandung di dalam sesebuah buku, dan bukannya buku itu sebagai novel.
Keyakinan kepada penggunaan ayat al-Quran seperti itu boleh menjatuhkan kita kepada syirik, iaitu berdosa kepada Allah. Syirik ialah menyekutukan Allah dengan lain-lain kuasa atau simbol. Orang syirik digolongkan mereka dalam golongan yang kufur iaitu ingkar kepada Allah. Tempat orang yang ingkar ialah neraka. ``Hai orang-orang beriman, bertakwalah kepada Allah sebenar-benar takwa kepada-Nya, dan janganlah sesekali kamu mati melainkan dalam keadaan beragama Islam.'' (Ali Imran: 102).
Tanpa disedari pengamal azimat, tangkal, menghiasi ayat al-Quran untuk tujuan tertentu adalah perbuatan syirik dan tidak ada kena mengena dengan tujuan Allah menurunkan al-Quran sebagai panduan.
Allah menyebut al-Quran untuk dijadikan panduan atau mengambil iktibar di atas kisah-kisah yang diceritakan di dalam kitab suci itu dan bukannya untuk ditulis kemudian dilekatkan kepada tubuh atau dijadikan jampi serapah. ``Kitab (Quran) ini tidak ada keraguan padanya petunjuk bagi mereka yang bertakwa. Yang beriman kepada yang ghaib, yang menunaikan solat dan yang menyedekahkan sebahagian rezeki yang dianugerahkan kepada mereka.'' (Al Baqarah : 2-3).
Keterangan ayat berkenaan menjelaskan al-Quran itu diturunkan kepada mereka yang bertakwa kepada Allah. Orang yang bertakwa tidak akan menyalahgunakan ayat-ayat al-Quran seperti itu. Mereka tidak berusaha atau mengharap kepada sebarang kuasa ataupun simbol kecuali Allah. Hanya mereka yang jahil ataupun buta al-Quran sahaja sanggup memperdagangkan tulisan-tulisan ayat al-Quran untuk mengaut keuntungan. Ayat-ayat al-Quran yang merupakan panduan, perintah dan larangan hendaklah dipatuhi dengan perbuatan, tekad dan keyakinan yang `haqqul yakin'. Dan kepatuhan itulah dikatakan sebagai beriman - percaya dan yakin kepada apa yang Dia katakan.
Salah faham dan salah amal ini mungkin akan berterusan selagi hakikat sebenar al-Quran diturunkan serta apakah maksud dan maknanya tidak dijelaskan dengan sejelas-jelasnya. Umat Islam seharusnya tidak berpegang kepada keyakinan karut demikian, kerana ia bukan sahaja gagal menghayati roh al-Quran tetapi secara tidak langsung boleh menjejaskan keagungan Kitabullah yang menjadi mukjizat Rasulullah s.a.w. itu.
Hujah akal yang diberikan oleh Mualim tempoh hari sepatutnya direnungi dengan cermat dan mendalam. Apakah benar ayat al-Quran (ayat Seribu Dinar) boleh menambahkan rezeki perniagaan? Bagaimana pula justifikasinya bagi peniaga yang berjaya dan menjadi jutawan tanpa menggantungkan ayat berkenaan di premis-premis perniagaan mereka?
Oleh IMAM AL-GUANI, Bicara Agama, Utusan Malaysia
Tuesday, 26 January 2010
Ayat Al-Quran -- Fahaman dan Amalan yang Salah
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
hearth break kid